Perhimpunan Pagi Bulanan Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur & Putrajaya telah di adakan pada 10 Januari 2014 di kelolakan oleh Bahagian Kesihatan Pergigian, JKWPKL & Putrajaya. 

TEKS UCAPAN PENGARAH KESIHATAN NEGERI
JABATAN KESIHATAN WILAYAH PERSEKUTUAN KUALA LUMPUR & PUTRAJAYA

Selamat pagi, salam sejahtera salam 1Malaysia
Selamat menyambut tahun baru 2014 kepada semua warga  JKWPKL & P.

Dengan kedatangan tahun baru ini saya pasti cabaran-cabaran kita disepanjang tahun 2013  masih  segar  dalam ingatan. Justeru itu tidak sukar bagi kita untuk mengorak langkah dengan lebih yakin, kearah  mencatat prestasi ditahap yang lebih baik untuk tahun baru ini.



Tahun 2013 meninggalkan kita dengan seribu peristiwa yang bercampur-campur. Ada yang membanggakan, ada yang mencabar dan sebagainya. Pengalaman JKWPKL & P dalam mengendali pembentukan UTC yang pertamanya di Puduraya pada tahun 2012, sekali lagi jabatan ini diberi amanah oleh Kementerian Kewangan untuk menguruskan pembukaan sebuah lagi mini UTC yang mana ianya hanya mempunyai komponen perkhidmatan pergigian di Tingkat 2 Bangunan Pusat Komuniti Bandar Baru Sentul. Perasmian Mini UTC tersebut telah dilakukan oleh YB Dato’ Raja Nong Chik, selaku Menteri Wilayah Persekutuan pada 16hb. Mac.2013.

 Perlancaran Mini UTC Sentul 

Klinik 1 Malaysia, UTC Pudu Sentral

Begitu juga kita berhadapan terutama di dalam perlaksanaan program-program vector, pengawalan alam sekitar  didalam usaha untuk mengawal penyakit  denggi. Kita berhadapan dengan pelaksanaan program yang berkaitan dengan gaya hidup yang mana ianya amat mencabar. 

Tahun 2014 dilihat sebagai tahun yang lebih mencabar bagi kita semua kerana gelombang kemerosotan ekonomi dan inflasi mulai terasa. Tahun ini perlu dihadapi dengan kekuatan mentaliti kearah perbelanjaan dan penjimatan berhemah. Kerjasama dan komitmen semua pihak adalah amat mustahak. Langkah ini dilihat perlu jika kita ingin meneruskan amanah yang dipertanggungjawabkan kepada kita didalam memberi perkhidmatan kesihatan kepada penduduk disekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya khasnya. Keazaman ini akan terbatas jika kita tidak seiring dan bersungguh-sungguh dalam usaha untuk capai matlamat jabatan ini. Ingin saya memetik amanah dari YB Dato KSU yang mana beliau menyatakan, dalam perutusan tahun baru ,2014, kita harus lebih bersedia untuk menghadapi cabaran yang lebih getir seiring dengan perubahan dan perkembangan persekitaran yang tidak menentu. Harapan beliau agar kita bersama-sama berusaha memperkasakan lagi KKM dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan penuh komitmen dan dedikasi yang lebih tinggi sejajar dengan agenda dan aspirasi transformasi. Tumpuan harus diberi kepada pembangunan keupayaan melalui perubahan sikap yang positif dan pembangunan minda yang progresif melalui pendekatan menyeluruh berteraskan amalan-amalan baik iaitu kerja berpasukan, integriti, kualiti kepimpinan, kebolehpercayaan, nilai murni dan kerohanian dan pembangunan ilmu. Kita juga mesti mengamalkan gaya hidup yang sihat dengan amalan pemakanan yang seimbang serta sentiasa menjaga imej dan disiplin. 

Bila menyentuh aspek menjaga imej dan disiplin, ingin saya menekankan di sini bahawa kementerian memandang serius tentang disiplin warga KKM seperti yang terkini ialah peringatan tentang pematuhan waktu bekerja. Ingin saya mengingatkan semua agar memandang serius kepada amalan berada di warong-warong atau kedai makan pada waktu bekerja. Ketua unit di ingatkan agar memain peranan yang lebih berkesan dalam memantau amalan sedemikian agar budaya berada di kedai kopi sewaktu bertugas tidak berterusan.   Dalam usaha untuk memantapkan lagi pengurusan kewangan dan aset kerajaan, satu lagi cabaran kita untuk tahun baru ini adalah kearah sistem perakaunan akruan.

Hindarkan budaya dan mentaliti SILO (sendiri-sendiri) serta KOKUN(menyendiri) dalam urusan kerja harian. Iaitu budaya kerja yang hanya memandang kepentingan jabatan dan unit masing-masing sahaja. Saya menekankan tentang pentingnya budaya kerja antara jabatan dan unit sebagai satu pasukan. Ketua-ketua unit dan ketua ketua jabatan perlulah sentiasa berhubung dalam menjalankan sesuatu kerja sebagai satu pasukan. Ketepatan waktu tanpa membudayakan kerja bertangguh juga merupakan salah satu faktor yang boleh menjejaskan prestasi dan imej jabatan kita ini. Ianya berkait dengan sikap complacent  yakni berada di zon yang selesa.

Seperkara lagi yang ingin saya ingatkan disini ialah, kita semua di ibaratkan sebagai sebuah keluarga yang besar. Sebarang kekurangan, kesilapan dan kejayaan senantiasa dikongsi bersama. Diatas kesedaran dan kefahaman ini, saya berharap sebarang masalah atau ketidakpuasan dikalangan warga jabatan boleh disalurkan kepada saya atau timbalan-timbalan saya terlebih dahulu. Jadikan satu amalan dimana kita cuba selesai sebarang masalah atau perselisihan dalaman secara tertib dan berhemah. Tindakan “membasuh kain kotor dikhalayak ramai’ bukan lah satu tindakan yang rasional/baik kerana sebagai penjawat awam kita dilatih untuk bertindak dengan mengikut saluran tertentu. Saya kira warga kerja jabatan ini adalah antara penjawat awam yang bijak dan berwibawa yang mampu mematuhi saranan tersebut. Sebarang kekurangan dan kelemahan tahun 2013 jadikan ia sebagai satu pengajaran dan kita harus pandang kehadapan  dalam menempuh hidup yang lebih mencabar. 

Mudah-mudahan tahun 2014 ini akan menjanjikan pelbagai kejayaan dan kecemerlangan yang berterusan buat kita semua. Saya ingin merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada warga JKWPKL & P sekalian yang telah bersama-sama menyumbang kearah pencapaian jabatan disepanjang 2013.

Di kesempatan ini saya mengucapkan selamat menyambut Maulidul Rasul dan Selamat Tahun Baru Cina kepada warga kerja JKWPKL & P. Bagi yang ingin pulang ke kampong untuk bercuti, diingatkan agar sentiasa memikirkan  keutamaan keselamatan diri dan keluarga. Sekian, terima kasih


Dr Balachandran A/L Satiamurthi
Pengarah Kesihatan Negeri
Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur & Putrajaya
Next PostNewer Posts Previous PostOlder Posts Home